Wednesday, February 6, 2008

Apa yang dipelajari dalam Kursus Mengenali dan menggunapakai Maklumat Islam Daripada Internet

Kursus Mengenali dan menggunapakai Maklumat Islam Daripada Internet memberi peluang kepada golongan yang baru berkenalan dengan internet untuk memulakan pengembaraan di internet. Mereka akan memulakan pengembaraan ke alam siber dengan tema maklumat Islam. Peserta diperkenalkan dengan lebih 100 laman web Islam berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Setiap laman web yang diperkenalkan disertakan dengan maklumat dan penilaian ringkas tentang setiap laman web.

Bagi yang sudah berpengalaman dalam dunia siber, kursus ini memberikan satu ruang pengembangan dalam mencari dan menilai maklumat-maklumat yang dikemukakan dalam laman web Islam. Ini termasuklah laman yang berkaitan hukum, audio, buku-buku yang dijual secara online dan buku-buku percuma. Peserta turut didedahkan dengan laman web musuh Islam dan laman web yang mengelirukan ummat Islam.

Peserta juga didedahkan dengan satu kertas asas bertajuk Garis Panduan Mengguna Pakai Maklumat Islam Di Internet. Ini memberikan satu konsep penapisan yang dibuat sendiri oleh peserta dalam menerima pakai sesuatu maklumat berkaitan Islam di Internet. Kertas ini cuba untuk mengelakkan kekeliruan apabila berhadapan dengan langit terbuka di dunia siber dengan meletakkan beberapa prinsip asas penapisan maklumat yang akan diterima pakai.

Bagi kursus ini peserta dibekalkan dengan satu CD yang mengandungi e-book Direktori Laman Web Islam dan Panduan Mengguna Pakai Maklumat Islam Di Internet. Beberapa e-book percuma turut diberikan. Selain itu CD tersebut juga disertakan dengan mashaf al-Quran digital, perisian azan dan beberapa perisian percuma yang membantu mereka mengembara di internet secara lebih selamat.

Kadang-kadang terlintas dalam fikiran kami untuk menjual CD tersebut bagi memudahkan lebih ramai khalayak yang berminat untuk mendapatkan faedah-faedah yang telah diperolehi oleh peserta seminar. Insya Allah jika berpeluang dan ada permintaan kursus ini akan kami anjurkan lagi pada masa hadapan.

No comments:

Pengunjung